Berita Aktiviti

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis

Carian Lain

Lawatan Kerja YBhg. Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha KKM ke Klinik Kesihatan Kangar, Perlis

11 April 2019 : YBhg. Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha KKM memulakan lawatan kerja di Negeri Perlis dengan mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kangar, Perlis. Klinik Kesihatan yang dikenali sebagai “bumbung biru” dalam kalangan masyarakat merupakan Klinik Kesihatan Jenis 2 dengan bangunan 3 tingkat. Klinik ini telah telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 23 Julai 2001.

KK Kangar memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Kangar dengan populasi dianggarkan seramai 43,000 orang. Pada tahun 2018, Klinik ini merekodkan kedatangan pesakit seramai 142,758 orang pesakit dengan purata seramai 555 pesakit sehari. Jumlah pesakit merekodkan penurunan berbanding tahun sebelum berikutan pengoperasian Klinik Kesihatan UTC.

Dalam lawatan ini, YBhg. Dato’ Seri telah mengadakan pemantauan terhadap kemudahan klinik dan meninjau masalah berkaitan penghawa dingin berpusat yang menyebabkan keadaan klinik menjadi tidak selesa. Sebagai penyelesaian jangka pendek pihak Kementerian telah memberikan peruntukan untuk mengatasi masalah ini sebelum masalah ini diselesaikan sepenuhnya bermula tahun hadapan.

Lawatan kedua YBhg. Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha KKM adalah bagi meninjau status pelaksanaan projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kg. Gial. Projek ini adalah bagi membina sebuah Klinik Kesihatan dengan bangunan klinik 2 tingkat bagi menggantikan klinik sedia ada yang telah digunakan sejak tahun 1964. Apabila siap kelak, Klinik ini akan mampu memberi manfaat kepada kira-kira 17,000 penduduk sekitar.

Pada tahun 2018 Klinik Kesihatan Kg. Gial telah merekodkan kedatangan pesakit seramai 53,050 pesakit dengan purata kedatangan seramai 214 pesakit sehari.

Berikutan kelewatan dalam aspek kemajuan fizikal di tapak projek, YBhg. KSU telah menekankan agar pihak kontraktor dapat mempercepatkan proses pembinaan agar projek ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat dalam kadar segera.

Lawatan ketiga YBhg. Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha KKM adalah bagi meninjau status pelaksanaan projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Pauh.

Projek di atas tanah berkeluasan 4.35 ekar ini adalah bagi membina sebuah Klinik Kesihatan yang baharu dengan bangunan klinik dua (2) tingkat berserta 16 unit kuarters kakitangan. Jarak antara Klinik baru ini ke Klinik Kesihatan terdekat iaitu Klinik Kesihatan Arau adalah 6km. Apabila siap kelak, Klinik ini akan mampu memberi manfaat kepada kira-kira 35,000 orang penduduk di sekitar pekan Pauh.

Projek yang dijangka siap pada bulan November 2019 ini mengalami kelewatan dalam aspek fizikal pembinaan. YBhg. Dato’ Seri KSU memberikan penekanan terhadap kepentingan menyiapkan projek ini sebagaimana dijadualkan supaya masyarakat sekitar mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.