Teks Ucapan Pengarah

YBrs. Dr. Sirajuddin bin Hashim
Pengarah Kesihatan Negeri Perlis

TEKS UCAPAN
YBRs. DR. SIRAJUDDIN BIN HASHIM
PENGARAH JABATAN KESIHATAN NEGERI PERLIS

SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN
PERINGKAT JABATAN KESIHATAN NEGERI PERLIS
BULAN JANUARI 2019

4 Januari 2019
8.30 Pagi
Auditorium Dr. Syed Mahmood, JKNPs

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...  dan
Salam Sejahtera.

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis,

Yang Berusaha Encik Azmi bin Abdul Latip
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Januari 2019 pada pagi ini,

Yang Berusaha barisan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri,

Yang Berusaha Dr. Othman bin Warijo
Pengarah Hospital Tuanku Fauziah,

Yang Berusaha Dr. Noor Azwa binti Mohd Salleh
Pegawai Kesihatan Daerah Kangar,

Pegawai-pegawai Kanan,
Ketua-ketua Unit,

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Warga Kesihatan Negeri Perlis yang saya kasihi sekalian.

PENDAHULUAN
1.    Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan berkat taufik dan hidayah-Nya, dapat kita berhimpun sempena Perhimpunan Bulanan peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagi bulan Januari 2019 pada pagi yang berbahagia ini. Pertemuan ini merupakan satu peluang yang baik untuk kita berkongsi dan berinteraksi sesama kita. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2019 kepada semua warga Kesihatan yang berkhidmat di seluruh Negeri Perlis sama ada di JKN, Pejabat Kesihatan Daerah, Hospital Tuanku Fauziah dan di semua fasiliti-fasiliti kesihatan di bawah pentadbiran JKN.

2.    Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada warga Kesihatan Negeri Perlis yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang tahun 2018. Sesungguhnya warga Kesihatan mempunyai komitmen yang amat tinggi dalam menjalankan tugas demi negara yang tercinta seperti yang tercatat dalam moto Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Kami Sedia Membantu. Semangat yang telah ditunjukkan oleh kita semua sebagai satu pasukan dalam memberikan perkhidmatan secara profesional dan penuh keikhlasan amatlah saya hargai.

IMBASAN 2018
Warga Kesihatan yang dikasihi,

3.    Tahun 2018 baru sahaja meninggalkan kita. Pelbagai kisah, peristiwa, cabaran dan sejarah telah terakam sepanjang tahun 2018. Pelbagai kejayaan telah dicapai di setiap peringkat yang seterusnya telah menjadikan Sistem Penjagaan Kesihatan di Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu sistem kesihatan yang berjaya di dunia. Menyingkap kejayaan di tahun lalu, saya ingin berkongsi beberapa kisah kejayaan oleh warga Kesihatan di luar bidang tugas hakiki yang boleh dibanggakan dan dijadikan inspirasi oleh kita semua.

4.    Yang pertama adalah kejayaan di dalam bidang sukan di mana Pasukan WoodBall JKN telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra tahun 2018 mengalahkan 38 pasukan lain. Lebih manis lagi, seorang warga kesihatan juga telah turut terpilih untuk mewakili pasukan Negeri Perlis ke peringkat kebangsaan. Ini membuktikan bahawa warga kesihatan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

5.    Kejayaan kedua yang ingin saya kongsikan adalah sejarah baru yang dicipta oleh pasukan daripada Bahagian Kesihatan Pergigian yang merekacipta produk inovasi yang dinamakan Stance Wheel. Produk ini bertujuan untuk membantu pesakit mendapatkan rawatan kesihatan pergigian yang lebih baik khususnya kepada mereka yang berkeperluan khas.

6.    Hasil kerjasama serta kolaborasi inter-agensi Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Perlis, Program Kesihatan Pergigian KKM, Majlis Rekabentuk Malaysia dan rakan komersial iaitu Medical Apparatus Supplies Sdn. Bhd., Stance Wheel telah dikomersilkan melalui satu majlis yang telah disempurnakan oleh YB Dr. Lee Boon Chai, Timbalan Menteri Kesihatan pada 19 Disember 2018 yang lalu bertempat di KKM. Majlis tersebut juga merupakan kemuncak penghargaan dan pengiktirafan kepada Program Kesihatan Pergigian sebagai projek rintis yang berjaya mendapat Sijil Pendaftaran Peranti Perubatan oleh Medical Device Authority Malaysia.

7.    Dua kisah kejayaan ini di harap dapat membuka mata kita bahawa warga Kesihatan sebenarnya mampu menempa kejayaan di pelbagai bidang yang memberikan manfaat besar kepada masyarakat dan negara di samping kejayaan dalam bidang perkhidmatan kesihatan.

Warga Kesihatan yang dihormati sekalian,

PEWARTAAN TEMPAT MAKAN SEBAGAI KAWASAN LARANGAN MEROKOK

8.    Sistem Kesihatan di Malaysia, walaupun sering diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa, ianya masih berdepan dengan banyak isu dan cabaran. Malaysia telah menjadi ahli kepada WHO Framework Convention on Tobacco Control semenjak 2005. Di mana di bawah Artikel 8  framework tersebut, setiap negara ahli  perlu melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok.

9.    Kajian oleh Institut Kesihatan Umum pada tahun 2011 mendapati bahawa sebanyak 85% rakyat Malaysia terdedah kepada pencemaran asap rokok di kafe dan kedai kopi dan 71 % di restoran.  Untuk tujuan itu, pihak KKM sedang dan akan memperluaskan kawasan-kawasan larangan merokok di negara ini berpandukan Pelan Strategik Kawalan Tembakau kebangsaan 2015-2020 sebagai salah satu daripada strategi yang dirancang bagi melindungi orang awam dari bahaya asap rokok tersebut.

10.    Sehubungan itu, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019, kesemua tempat makan yang menyediakan dan menghidang makanan kepada orang awam, tidak kira samada tempat tersebut berhawa dingin mahupun tidak, diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

11.    Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan akan dijalankan secara berperingkat-peringkat di mana bagi enam bulan pertama ialah penguatkuasan pendidikan dan bermula Julai 2019 penguatkuasaan sebenar akan dilaksanakan. Saya juga telah bersama-sama pasukan penguatkuasaan dalam menjalankan penguatkuasaan pendidikan di sekitar Bandar Kangar pada 2 Januari yang lalu bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat dan peniaga mengenai pewartaan ini termasuk keperluan-keperluannya.

12.    Saya menyeru semua warga kesihatan untuk bersama-sama membantu usaha-usaha pewartaan ini, setidak-tidaknya dengan menyampaikan maklumat-maklumat asas kepada masyarakat demi persekitaran yang sihat  bebas dari asap rokok yang membahayakan kesihatan.

Warga Kesihatan yang dikasihi sekalian,

Peruntukan Tahun 2019
13.    Bagi tahun 2019, pihak KKM telah diperuntukan sebanyak RM26.68 bilion yang merangkumi RM26.498 bilion untuk Belanja Mengurus manakala sebanyak RM2.18 bilion untuk Belanja Pembangunan. Daripada peruntukan berkenaan, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah menerima Batas Perbelanjaan sebanyak RM275 juta yang melibatkan peningkatan sebanyak RM30 juta iaitu 12% berbanding Batas Perbelanjaan bagi tahun 2018.

14.    Dengan peruntukan yang telah disalurkan ini, bersarlah harapan saya agar semua Pusat Tanggungjawab dapat merancang perbelanjaan mengikut Program/Aktiviti yang telah ditetapkan bagi memastikan keberhasilan (outcome) dan keberkesanan Aktiviti. Kajian semula terhadap projek/aktiviti yang kurang menyumbang kepada pencapaian outcome perlu dilaksanakan bagi memastikan peruntukan dapat digunakan secara optimum terutama dalam keadaan persekitaran ekonomi semasa yang mencabar ini.

15.    Semua warga kesihatan harus bersedia sebagai penggerak utama dalam membantu Kerajaan menghadapi cabaran semasa dengan memastikan tidak berlaku pembaziran sumber terutama sumber kewangan. Segala peruntukan perlu dibelanjakan dengan optimum serta berhemah.

16.    Selain itu, langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah hendaklah diteruskan dengan mematuhi Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bil. 1/2016 yang berkuatkuasa di samping memastikan kesinambungan perkhidmatan tidak terjejas hingga ke akhir tahun 2019.

17.    Disamping itu, semua tanggungan tahun 2018 dan bayaran bil dan tuntutan di bawah AP58(a) yang belum dijelaskan hendaklah ditampung di bawah peruntukan Dasar Sedia Ada tahun 2019 ini dan semua tunggakan perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Warga Kesihatan yang dihormati sekalian,

Penutup

18.    Kita harus bersatu, ikhlas dan berfikir dengan terbuka untuk melaksanakan perubahan agar perkhidmatan kesihatan dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Peliharalah keharmonian dalam keterujaan membuat pembaharuan dan perubahan.

19.    Akhir kata, saya mendoakan semoga warga kesihatan sekalian terus beristiqamah dan beriltizam menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti sepanjang masa. Saya yakin kita semua dapat membina satu pasukan yang mantap dan kukuh sekiranya kita semua bersatu hati dan sepakat untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi tahun 2019. Semoga apa yang kita laksanakan akan mendapat keberkatan Ilahi dan dapat memberikan kesejahteraan kepada bangsa dan negara secara keseluruhan.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.