Teks Ucapan Pengarah

YBrs. Dr. Sirajuddin bin Hashim
Pengarah Kesihatan Negeri Perlis

UCAPAN PENGARAH KESIHATAN NEGERI PERLIS
PERHIMPUNAN BULANAN
JABATAN KESIHATAN NEGERI PERLIS
8 MAC 2019
AUDITORIUM DR SYED MAHMOOD
JABATAN KESIHATAN NEGERI PERLIS

Yang dihormati Pengacara Majlis

Y.Berusaha Dr Azmi bin Ahmad, TPKN Kesihatan Awam, yang merupakan Pengerusi Penganjur Sesi Perhimpunan Bulanan JKN Perlis bulan Mac 2019

Y. Bhg Timbalan Timbalang Pengarah Kesihatan Negeri JKN Perlis
Y. Bhg Pegawai Kesihatan Daerah Kangar
Y. Bhg Pengarah Hospital Tuanku Fauziah


Seterusnya warga Jabatan Kesihatan sekalian


Assalamualaikum, Selamat Pagi dan Salam Sejahtera


1.     Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul lagi dalam Sesi Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mac tahun 2019. Semoga program pada pagi ini akan dapat memberi manfaat kepada semua, Insya Allah.

Warga kesihatan yang dihormati,

2.    Untuk makluman semua, tanggal 9 Mac 2019 esok hari, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis akan melancarkan Kempen Hidup Aktif yang dikenali sebagai WALK (When Active Living Kicks) di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Kempen WALK ini adalah pengukuhan daripada Kempen Cara Hidup Sihat yang telah dilancarkan pada tahun 1991, fokus kempen WALK ini bermula 2018 sehingga tahun 2025 ialah untuk menggalakkan Rakyat Malaysia untuk hidup secara aktif. Perasmian Kempen WALK Peringkat Negeri Perlis tahun ini akan disempurnakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis. Saya menyeru kepada semua anggota kesihatan untuk hadir beramai ramai ke Karnival Hidup Aktif Perlis esok 9 Mac 2019 yang akan bermula pada Jam 8.00 pagi. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang untuk semua. Sokongan anggota kesihatan penting dalam menunjukkan contoh tauladan yang baik, Walk The Talk kepada masyarakat yang lain. Jemput hadir sama sama memeriahkan kempen anjuran Jabatan Kesihatan.

Sidang hadirin yang dihormati,

3.    Selain amalan kehidupan yang aktif, amalan pemakanan yang sihat juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Bahagian pemakanan telah mengambil inisiatif dalam melaksanakan kempen Air Kosong di dalam Komuniti Perlis pada tahun ini. Pada 1 Mac 2019, kempen minum air kosong ini telah dilancarkan di Restoran Makanan Segera McDonald, Kangar Perlis yang menjadikan restoran McDonald sebagai restoran pertama di Malaysia yang melaksanakan inisiatif kempen ini. Kempen ini memberi fokus kepada usaha Jabatan Kesihatan dalam menggalakkan pengambilan air kosong berbanding minuman manis. Selain itu, mesej untuk mengurangkan kalori dari hidangan yang diambil. Ianya jelas menunjukkan tidak semestinya restoran makanan segera itu adalah restoran yang tidak sihat. Kita perbetulkan stigma tersebut dengan adanya kempen ini. Kempen ini juga akan turut dilaksanakan secara berperingkat di restoran makanan segera yang lain seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Marrybrown (MB).  Turut dimasukkan sekali beberapa restoran makanan popular di Perlis seperti Restoran Mee Z Din, Kuali Hangaat, Suri Corner serta Restoran Ibunda. Diharapkan inisiatif ini akan membantu memberi pilihan yang lebih sihat kepada rakyat Perlis dan seterusnya dapat mengekalkan pengambilan makanan sihat sewaktu di luar rumah.”Suku-Suku Separuh dan Air Kosong Jadikan Amalan; Buatlah Perubahan Mudah Je”.


Warga Kesihatan Yang Dihormati,

4.    Untuk pengetahuan semua, Hari Tibi / Kusta di sambut pada setiap Bulan Mac setiap tahun. Tema sambutan hari tibi/kusta 2019 : INILAH MASANYA : KESAN, RAWAT DAN PASTIKAN SEMBUH. Jumlah kes tibi berdaftar di seluruh Malaysia bagi tahun 2018 adalah sebanyak 25838 kes dengan kadar insiden sebanyak 78.62/100,000 penduduk. Manakala Perlis pula berada di kedudukan yang ke-14 dengan mencatat 134 kes dengan kadar insiden 52.7/100,000 penduduk. Walau bagaimanapun, jumlah kes tibi berdaftar di Perlis didapati semakin meningkat iaitu 134 kes berbanding 132 kes (2017), 132 kes (2016), 130 kes (2015) dan 119 kes (2014).

Ini adalah sejajar dengan peningkatan aktiviti saringan tibi yang dijalankan. Aktiviti pengesanan kes sepanjang  tahun 2018 meningkat sebanyak  51%  iaitu 6995 klien disaring berbanding 4624 saringan bagi tahun 2017.  Fokus program saringan tibi ini adalah kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kontak kes tibi, pesakit diabetes, banduan, pesakit HIV, kumpulan warga emas dan perokok. Selain itu, walaupun penyakit kusta tidak banyak dilaporkan di negeri Perlis iaitu hanya 8 kes dilaporkan dalam tempoh 4 tahun, tetapi  perlu diingat juga bahawa penyakit kusta masih lagi ada di kalangan  komuniti. Justeru itu, pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai penyakit Tibi dan Kusta adalah masih perlu dipertingkatkan.

5.    Selain daripada itu, minggu kesedaran garam juga di jalankan pada Bulan Mac ini. Sedikit fakta tentang garam, melalui kajian My Salt 2015 yang dilakukan dalam kalangan anggota kementerian mendapati rakyat Malaysia mengambil garam secara purata sebanyak 7.15 gram sehari. WHO menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi lima gram atau kurang daripada satu sudu teh sehari. WHO juga meletakkan sasaran untuk mengurangkan pengambilan garam sehingga 30 peratus menjelang 2025. Bagi Malaysia, kementerian menetapkan sasaran pengurangan pengambilan garam daripada 8.7 gram kepada enam gram menjelang 2025.
Pengambilan garam berlebihan berisiko diserang penyakit darah tinggi, jantung dan angin ahmar jika tidak dikawal. Berdasarkan kajian sama, kicap cair berada di kedudukan pertama bagi makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi diikuti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, kicap pekat dan sup daging lembu. Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia, World Action On Salt and Health (WASH) disambut pada bulan Mac setiap tahun bagi mengingatkan kepada orang ramai supaya pengambilan garam tidak melebihi 5 gram sehari demi kebaikan kepada kesihatan masing-masing. Pada tahun ini Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2019 bermula 4 hingga 10 Mac. Lima langkah perlu dilakukan individu bagi mengurangkan pengambilan garam kepada lima gram sehari termasuk pilih untuk makan secara sihat; beransur-ansur kurangkan pengambilan garam; menggantikan garam dengan rempah ratus dan perisa asli; lebihkan pengambilan sayur dan kerap makan di rumah. Pastikan kita menyampaikan mesej ini kepada pesakit, rakan dan saudara kita yang lain.

Sidang hadirin yang saya hormati,

6.    Adakah anda pernah dengar mengenai PEKA B40 ? PEKA yang dikenali sebagai Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD). PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 50 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40.
Skim PeKa B40 diuruskan sendiri oleh Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan telah ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan. PeKa B40 memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit  tidak berjangkit kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan
Melalui PeKa B40, mereka akan menerima empat manfaat berkaitan kesihatan, jika berkenaan. Manfaat ini adalah:
1.    Saringan kesihatan : saringan kesihatan yang dijalankan secara percuma termasuk pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara dan klinikal prostat (jika perlu), manakala pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah, diabetes, tahap kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang;
2.    Bantuan alat perubatan : Melalui manfaat bantuan alat perubatan, penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 (seumur hidup) terhad kepada kategori tertentu di hospital Kementerian Kesihatan;
3.    Insentif melengkapkan rawatan kanser : sebanyak RM1,000 dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital kementerian dan bayaran secara berperingkat bergantung kepada tahap rawatan;
4.    Insentif tambang pengangkutan : insentif tambang pengangkutan diberikan maksimum RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak bagi setiap penyakit
Pelaksanaan skim ini akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk klinik swasta, makmal swasta, hospital dan klinik kesihatan KKM.  Bagi proses mendapatkan saringan kesihatan percuma itu, penerima BSH berusia 50 tahun ke atas boleh menyemak kelayakan mereka di laman web PeKa B40 yang akan berfungsi sepenuhnya April ini, kemudian perlu ke klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenal pasti melalui pelekat PeKa B40 dengan membawa MyKad.

Warga Kesihatan yang dikasihi,

7.    Bermula 1 Mac 2019, projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) telah dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri termasuk di negeri Perlis bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika iniWBF ini dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah. Arahan pelaksanaan WBF ini merupakan sebahagian inisiatif pembaharuan perkhidmatan awam. WBF ini, terpakai kepada semua pegawai yang mengamalkan Waktu Bekerja Pejabat di kementerian atau jabatan. Bagi PTJ dan Bahagian di bawah pentadbiran Jabatan Kesihatan Negeri, hanya JKN sahaja yang terlibat dengan pelaksanaan WBF secara rintis ini. Hospital, Pejabat Kesihatan Daerah dan lain-lain fasiliti kesihatan tidak terlibat dan perlu meneruskan Waktu Bekerja Berperingkat seperti biasa.
Waktu pejabat akan bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang Pegawai boleh memulakan tugas pada bila-bila masa antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Pegawai yang mengetik kehadiran pada jam 8.31 pagi dikira lewat memulakan tugas. WBF hendaklah dilaksanakan berdasarkan waktu bekerja sehari iaitu selama sembilan jam termasuk waktu rehat sejam. Contohnya, pegawai yang memulakan tugas pada jam 8.07 pagi akan menamatkan tugas pada jam 5.07 petang. Harap semua faham akan perlaksanaan ini.
Sidang hadirin sekalian,
8.    Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI PEMBANTU PERUBATAN kepada semua Penolong Pegawai Perubatan Negeri Perlis yang disambut pada 10 Mac 2019. Tema tahun ini ialah “A caring Profession Towards Healthy Community”. Semoga profession ini terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat. Akhir kata, terima kasih  kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Sesi Perhimpunan Bulanan pada pagi ini terutama Bahagian Kesihatan Awam yang sebagai penganjur pada bulan ini.  Saya berharap semua warga kesihatan akan meneruskan kecemerlangan jabatan ini dengan usaha-usaha berterusan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih cemerlang.
Dengan ini, saya sudahi dengan Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera.


Sekian, terima kasih