Info Kesihatan

Tip | Panduan | Amaran | Dan Lain-lain

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil beberapa langkah untuk membendung penularan Denggi dan Jangkitan Zika di seluruh negara termasuk melalui penguatkuasaan undang-undang. Di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit Berjangkit 1975 (APSPP), adalah menjadi tanggungjawab semua orang bagi memastikan premis yang dimiliki atau dihuni tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk pembawa penyakit. Perubahan cuaca sejak kebelakangan ini dengan berlakunya hujan di kebanyakan tempat dalam negara berpotensi menyebabkan wujudnya tempat-tempat pembiakan nyamuk khususnya Aedes.

Sebagai langkah persediaan awal dalam mengawal penularan Denggi, KKM telah melancarkan satu operasi khas iaitu ‘Ops Barang Lusuh’ di seluruh negara pada 8 November 2016. Operasi penguatkuasaan ini merupakan susulan daripada operasi yang sama yang telah dijalankan pada 12 Mei 2016. Premis-premis barang lusuh disasarkan untuk pemeriksaan kerana berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan Aedes jika tiada langkah pencegahan diambil oleh pemilik atau penghuni premis tersebut.

Hasil daripada pemeriksaan “Ops Barang Lusuh” didapati 126 premis (17.6%) daripada 715 premis yang diperiksa mempunyai pembiakan Aedes. Premis barang lusuh turut meliputi perusahaan kitar semula, jual beli kereta terpakai serta bengkel kereta. Sebanyak 119 tawaran kompaun dikeluarkan terhadap pemilik atau penghuni premis barang lusuh yang didapati melakukan kesalahan dengan membiarkan pembiakan nyamuk pembawa penyakit berlaku di dalam premis. Jika kompaun tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan dijalankan ke atas orang yang ditawarkan kompaun tersebut. Jika disabitkan kesalahan di bawah subseksyen 13(1) APSPP, denda maksimum adalah berjumlah RM10,000.00 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali akan dikenakan. Bagi kesalahan yang berulang, denda maksimum adalah RM50,000.00 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Tindakan mahkamah akan diambil terhadap penjaga 5 premis barang lusuh masing-masing di negeri Kedah, Perak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya kerana didapati melakukan kesalahan berulang dan tujuan pendakwaan adalah untuk mendapatkan penalti yang lebih berat bagi kesalahan tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan APSPP 1975 secara berterusan bagi membendung peningkatan kes Denggi dan mengurangkan risiko jangkitan Denggi dalam kalangan masyarakat. Bersama-samalah kita berusaha bagi mencapai persekitaran hidup yang sihat.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 November 2016

Info lanjut: Kenyataan Akbar KPK 22 November 2016 – Penguatkuasaan ”Ops Barang Lusuh” di Bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975