S. SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, tiga objektif utama pelaksanaan pelan tersebut ialah untuk me­ningkatkan status pemakanan penduduk, mengurangkan pe­nyakit tidak berjangkit dan memastikan jaminan kebolehdapatan makanan serta pemakanan.

Beliau berkata, bagi menjayakan pelaksanaan pelan tersebut, pihaknya telah menggariskan sebanyak 12 strategi dan 172 aktiviti sepanjang tempoh tersebut dengan melibatkan kira-kira 80 agensi pelaksana yang terdiri daripada pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

“Status nutrisi dalam kala­ngan rakyat negara ini agak membimbangkan, lebih 45 peratus daripadanya mempunyai berat badan yang berlebihan dan kira-kira 15 peratus pula me­ngalami masalah obesiti.

“Pada masa sama, lebih 30 peratus penduduk negara ini menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan lebih 47 peratus (kolesterol tinggi), data ini me­nunjukkan ramai dalam kalangan kita mempunyai status kesihatan yang tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan NPANM siri ketiga 2016-2025 di sini.

Sehubungan itu, Subramaniam menggesa orang ramai supaya mengubah tabiat pemakanan tidak sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergula.

Dalam pada itu katanya, menerusi pelan tindakan itu juga, pihaknya akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memperkukuhkan aspek kebolehdapatan makanan dan penyediaan sistem makanan yang mampan.

“Bagi menyokong pelaksanaan pelan tindakan ini dari segi aspek penyelidikan, sebuah dokumen berjudul Prioriti Penyelidikan Pemakanan di Malaysia untuk Rancangan Malaysia Ke-11 telah dibentuk.

“Sebanyak tujuh bidang keutamaan telah digariskan melibatkan pemakanan untuk maternal, bayi dan kanak-kanak; pemantauan dan penilaian program; amalan pengambilan makanan sepanjang hayat; masalah berlebihan dan kekurangan makro serta mikronutrien; masalah obesiti; penyakit tidak berjangkit berkaitan makanan dan mewujudkan pangkalan data komposisi zat makanan,” katanya.