Keratan Akhbar

Berita Kesihatan Dalam dan Luar Negeri


KUALA LUMPUR 22 November 2016 - Sebanyak 126 premis atau 17.6 peratus daripada 715 premis barang lusuh yang diperiksa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dikesan mempunyai tempat pembiakan Aedes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata susulan itu tindakan mahkamah diambil terhadap penjaga lima premis barang lusuh di Kedah, Perak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana didapati melakukan kesalahan berulang.

Beliau berkata sebanyak 119 kompaun pula dikeluarkan terhadap pemilik atau penghuni premis yang didapati membiarkan pembiakan nyamuk pembawa penyakit di dalam premis.

"Pemeriksaan ini dijalankan menerusi operasi khas Ops Barang Lusuh pada 8 November lalu melibatkan premis perusahaan kitar semula, jual beli kereta terpakai serta bengkel kereta.

"Operasi penguatkuasaan ini merupakan susulan operasi sama yang dijalankan pada 12 Mei lalu dan premis-premis barang lusuh disasarkan untuk pemeriksaan kerana berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

KKM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung peningkatan kes denggi dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit itu dalam kalangan masyarakat, katanya. - Bernama