Pemberitahuan & Berita

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis

Carian Lain

KUALA LUMPUR: Pengambilan kopi pra campuran herba dikenal pasti sebagai salah satu punca pelbagai penyakit kronik seperti obesiti dan kencing manis selain membawa kesan buruk kepada organ dalaman.

Bagaimanapun, ramai pengguna tidak menyedarinya berikutan mudah terpedaya dengan iklan mendakwa kopi pra campuran itu mempunyai khasiat termasuk mampu memulihkan syahwat, melangsingkan badan serta memutihkan kulit.

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan , Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata pengguna tidak menyedari bahaya terkandung dalam kopi pra campuran berikutan terpedaya dengan gimik bagi melariskan produk.

"Kebanyakan produk kopi pra campuran yang terdapat di pasaran tidak memberikan kesan seperti dijanjikan, sebaliknya kandungan herba yang didakwa diadun bersama kopi tertentu boleh diragui.

"Malah harga herba, kononnya yang dicampur dalam paket minuman itu, adalah mahal dan mustahil untuk pengeluar menggunakan bahan itu dengan kuantiti sepatutnya kerana ia akan mempengaruhi harga produk berkenaan.

"Harga herba seperti ginseng dan Tongkat Ali bukan murah seperti disangka, jika ekstrak herba itu diguna, ia mungkin dalam kuantiti kecil dan tidak mampu memberi kesan seperti diharapkan pengguna," katanya.

Selain itu, tambah beliau, tiada kajian saintifik yang menunjukkan keberkesanan kopi pra campuran herba mempunyai khasiat yang didakwa. Jika ada pengakuan pengguna, ia mungkin kerana kesan 'palsu' atau kesan 'placebo' berikutan persepsi sebelum meminum kopi berkenaan.

Sebaliknya, kandungan gula yang tinggi dalam kopi pra campuran boleh menyebabkan penyakit kronik seperti obesiti dan kencing manis.

"Pengguna boleh melihat sendiri kandungan kalori atau gula yang terdapat pada bungkusan paket minuman itu yang disusun mengikut jumlah paling tinggi bagi kuantiti bahan terkandung dalam kopi itu," katanya.

Dr Hamid Jan mengingatkan, pengguna yang gemar minuman air herba tanpa campuran kopi turut berisiko mendapat penyakit hati berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini.

"Ini kerana herba yang diminum akan diproses di bahagian hati manusia dan mendap dalam organ berkenaan dan mendapan yang berlaku akan mengakibatkan hati manusia mengalami kerosakan atau kecederaan," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya lebih cermat dalam memilih produk minuman berasaskan kopi, elakkan produk yang mempunyai gula dan kalori yang tinggi serta produk yang mempunyai kandungan bahan herba yang diragui keberkesanannya.

Sumber: Berita Harian