Pemberitahuan & Berita

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis

Carian Lain

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pengamal perubatan dan ahli farmasi berlesen yang didapati menjual ubat batuk bukan untuk perubatan mengikut Akta Racun 1952.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.


"Persediaan ubat batuk dalam sebarang bentuk dan yang mengandungi racun berjadual adalah dikawal mengikut Akta Racun 1952.

"Jadi, penjualan ubat batuk hanya dibolehkan untuk perubatan dan oleh pengamal perubatan serta ahli farmasi berlesen dan perlu mematuhi peruntukan undang-undang mengikut Akta Racun 1952," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan khas muka depan Harian Metro pada 24 Februari lalu.

Laporan berkenaan mendedahkan, penjualan ubat batuk secara terbuka di farmasi terutamanya di utara Semenanjung dipercayai antara punca utama penyalahgunaan ubatan berkenaan yang dijadikan ramuan khas bagi menghasilkan chakoroi.

Laporan itu menyebut, chakoroi adalah hasil campuran air ketum, minuman berkarbonat dan ubat batuk yang kini menjadi kegilaan penagih air ketum dan 'kaki lalok' bagi menggantikan pengambilan dadah.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menjalankan pemeriksaan ke atas premis disyaki menjual ubat batuk bukan untuk perubatan di seluruh negara pada 22 Ogos tahun lalu.

Katanya, pemeriksaan itu berdasarkan aduan diterima dan hasilnya, sebanyak 100,480 botol ubat batuk dirampas untuk siasatan lanjut mengikut bawah Akta Racun 1952.

Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas semua premis yang menjual ubat dan produk kesihatan bagi memastikan penjualan itu mematuhi peruntukan undang-undang dikuatkuasakan.

"Kerjasama antara agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) juga akan dipertingkatkan bagi membanteras penjualan serta penggunaan ubat batuk bukan untuk perubatan.

"Kementerian Kesihatan amat mengalu-alukan sebarang aduan, maklum balas dan cadangan orang ramai berkenaan aktiviti penjualan ubat batuk yang mencurigakan atau perlanggaran lain mengikut undang-undang dikuatkuasakan melalui talian 03-7841 3200 atau dengan melayari portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my" katanya.

 

Sumber: Berita Harian