Pemberitahuan & Berita

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menarik perhatian orang awam akan dokumen palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia. Kementerian ini telah dimaklumkan berkenaan dokumen bertarikh 10 Julai 2017 dengan rujukan 100717/08/357 (rujuk Lampiran 1) yang menggunakan kepala surat palsu bertulisan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Surat tersebut pada isi kandungannya menyatakan maklumat pengkelasan bagi produk Natural Progesterones Cream.

 

  1. Pihak KKM dengan ini mengesahkan bahawa dokumen (surat) tersebut adalah palsu dan menafikan bahawa ia dikeluarkan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (sekarang dikenali sebagai Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau NPRA). Laporan polis telahpun difailkan.

 

LATAR BELAKANG

  1. Sesuatu produk kosmetik perlu mematuhi semua keperluan yang telah ditetapkan termasuk dari segi kandungan bahan serta had kandungan yang dibenarkan. Untuk menentukan sama ada sesuatu produk perlu didaftarkan / dinotifikasi serta kategori produk tersebut, pihak syarikat boleh memilih untuk membuat permohonan pengkelasan produk dengan pihak NPRA. Namun, aktiviti pengkelasan produk ini bukan merupakan proses wajib dalam pendaftaran produk / notifikasi kosmetik dan hanya bertujuan untuk membantu pihak syarikat.

 

  1. Semakan pada pangkalan data pengkelasan produk NPRA mendapati bahawa tiada permohonan diterima oleh NPRA bagi pengkelasan produk Natural Progesterones Cream. Selain itu, Progesterone iaitu suatu racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 juga merupakan bahan yang tidak dibenarkan dalam formulasi sesuatu produk kosmetik.

 

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM, PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK

  1. Pihak KKM memandang serius isu pemalsuan dokumen terutamanya yang melibatkan penggunaan nama agensi kerajaan dan melibatkan keselamatan pengguna. Kementerian ini juga memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk bahawa memiliki, menjual atau membekal produk tidak berdaftar adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

 

  1. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

 

  1. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk farmaseutikal atau status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang www.npra.moh.gov.my ATAU dengan menghubungi NPRA di talian 03-78835400.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Ogos 2017