20 November 2019 : Majlis Sambutan Hari Integriti 2019 peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah diadakan dengan tema “Toleransi Sifar Terhadap Rasuah” yang membawa maksud Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bertoleransi terhadap apa-apa perlakuan rasuah yang berlaku di dalam organisasi. KKM juga tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk warganya yang terlibat dalam perlakuan rasuah. KKM mensasarkan "toleransi sifar terhadap rasuah" di dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Program ini telah dianjurkan Bahagian Pengurusan JKN Perlis dan dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Ybrs. Dr. Sirajuddin bin Hashim. Menerusi polisi ini, warga Jabatan tidak dibenarkan menerima sebarang bentuk hadiah atau sumbangan daripada pihak pelanggan dan mana-mana pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan Jabatan. Ini sebagai langkah pencegahan untuk mengukuhkan integriti serta profesionalisme warga Jabatan daripada terjebak dengan perlakuan rasuah, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya memperoleh pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS) pada 26 Jun 2019. Susulan dari itu, YB Menteri Kesihatan juga telah melancarkan Kit Polisi Pencegahan Rasuah di bawah pensijilan tersebut pada 27 Ogos 2019 yang lalu.

Dalam usaha menutup ruang dan peluang rasuah, warga KKM hendaklah mengambil tindakan berdasarkan tagline "JANGAN MINTA, TOLAK dan LAPOR".

Lihat gambar :