Sambutan Hari Jantung Sedunia pada tahun ini disambut dengan tema “Sayangi Jantung dan Terus Berhubung” (Use Heart to Connect), yang memfokuskan penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit jantung dan risikonya di seluruh dunia. Pendekatan melalui teknologi digital ini berpotensi memangkin penyebaran ilmu pengetahuan kesihatan agar masyarakat dapat memantau kesihatan jantung dan memahami risiko-risiko penyakit jantung. Ini dapat meningkatkan liputan kesedaran kesihatan jantung kepada komuniti dan orang tersayang demi kesihatan yang lebih baik.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 18.6 juta kematian akibat penyakit jantung di seluruh dunia direkodkan pada tahun 2019. Ia juga merupakan penyebab utama kematian di Malaysia, menyumbang sebanyak 15.0 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan pada 2019. Perangkaan ini dijangka lebih meruncing terutamanya tatkala seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang menyebabkan akses kepada informasi dan rawatan penyakit jantung serta penyakit tidak berjangkit yang lain menjadi lebih sukar.

Oleh yang demikian, penggunaan teknologi digital sedia ada secara optima akan membantu kita untuk bukan sahaja berhubung di antara satu sama lain di mana sahaja kita berada, malah ia dapat memastikan semua lapisan masyarakat di seluruh negara mendapat akses kepada informasi pencegahan dan rawatan penyakit jantung yang diperlukan. Melalui teknologi dan aplikasi kesihatan digital, agensi lain seperti badan-badan berkanun, NGO, pihak akademik dan lain-lain dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberi sokongan yang diperlukan kepada pesakit jantung dan ahli keluarga mereka.

Baca kenyataan penuh di
https://kpkesihatan.com/2021/09/29/kenyataan-akhbar-kpk-29-september-2021-sempena-hari-jantung-sedunia/