STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 166 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,487 kes (36.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 8 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 156 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,119 kes. Ini bermakna, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Sehingga kini, seramai 76 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua (2) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 65 kes (1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

    Kes kematian ke-64 (kes ke-2903) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 7 April 2020 jam 3.20 petang.
    Kes kematian ke-65 (kes ke-1906) merupakan lelaki warganegara Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 April 2020 jam 9.30 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

SUB-KLUSTER DI REMBAU, NEGERI SEMBILAN YANG BERKAITAN DENGAN PERHIMPUNAN SERI PETALING

KKM telah mengesan sebuah sub-kluster di Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling. Ini merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti di dalam Daerah Rembau ( Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar ). Sehingga 8 April 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua puluh tujuh (27) orang yang telah dikenalpasti positif COVID-19, termasuk dua (2) kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah. Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ianya telah dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448) yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Seri Petaling.

Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat 3 generasi jangkitan. Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun Negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab. Pematuhan kepada ketetapan ini adalah amat penting bagi mengekang dari berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat.

Didapati semasa tempoh PKP ini, masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan serta aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara termasuk mereka yang tidak sihat serta mereka yang sedang menjalani “home / self surveillance”. Misalnya, bagi kes kematian ke-64, beliau dan beberapa orang lain telah meneruskan perjalanan ke luar kawasan, iaitu ke dua negeri, meskipun PKP telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020. Didapati kenderaan di jalan raya juga makin meningkat. KKM khuatir sekiranya ketidakpatuhan oleh masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan COVID-19.

Mengambil kira situasi semasa ini, KKM ingin menggesa orang ramai supaya kekal patuh kepada PKP. Ini adalah amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Sepanjang tempoh PKP ini juga, pihak KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan:

    Tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
    Jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 April 2020 @ 5.00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

 

(SEHINGGA 8 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

 

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 17
KEDAH 1 91
PULAU PINANG 6 108
PERAK 4 237
SELANGOR 58 1,078
NEGERI SEMBILAN 9 270
MELAKA 13 116
JOHOR 18 496
PAHANG 3 169
TERENGGANU 3 93
KELANTAN 0 147
SABAH 7 248
SARAWAK 18 306
W.P. KUALA LUMPUR 14 685
W.P. PUTRAJAYA 2 45
W.P. LABUAN 0 13
JUMLAH KESELURUHAN 156 4,119