STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 121 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,608 kes (38.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 9 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 109 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,228 kes. Ini bermakna, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Sehingga kini, seramai 72 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua (2) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 67 kes (1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-66 (kes ke-2798) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik yang lain. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 jam 5.00 pagi.
Kes kematian ke-67 (kes ke-2864) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-2469 dan kes ke-2470) dan merupakan kes generasi ke-5 kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak (beliau bukan peserta persidangan ini). Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 jam 9.42 pagi.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

ISU KEBAJIKAN BUKAN WARGANEGARA MALAYSIA SEMASA WABAK  COVID-19

Sehingga 9 April 2020 jam 12 tengah hari, pihak KKM telah mengesan sebanyak 416 kes positif COVID-19 di kalangan bukan warganegara Malaysia, termasuk dua (2) kes kematian iaitu kes ke-1906 (warga Pakistan) yang telah dilapor pada 8 April 2020 dan kes ke-1275 (warga Pakistan) yang dilaporkan pada 31 Mac 2020.

Daripada jumlah tersebut, antara negara utama adalah:

51 kes terdiri daripada warganegara Indonesia
37 kes terdiri daripada warganegara India
31 kes terdiri daripada warganegara Myanmar
29 kes terdiri daripada warganegara Pakistan
27 kes terdiri daripada warganegara Filipina
KKM bekerjasama rapat dengan pihak United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Selain itu, KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, seramai 137 orang sukarelawan dari pelbagai sektor telah menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat.

STATUS TERKINI KAPASITI MAKMAL UNTUK MENJALANKAN UJIAN PENGESANAN DAN PENGESAHAN COVID-19

Pada peringkat awal, Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research; IMR) merupakan satu-satunya makmal yang terlibat secara langsung dalam menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di Malaysia. Kapasiti makmal tersebut kini telah diperluaskan dan diperkukuhkan melibatkan 43 buah makmal daripada sektor awam, universiti dan sektor swasta.

Terkini, kapasiti maksima makmal untuk menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 adalah sebanyak 11,546.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM menyeru rakyat Malaysia supaya mematuhi segala arahan berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Kegagalan mematuhi mana-mana arahan tersebut, sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342.

Semasa berada di rumah, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun serta sentiasa amalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

9 April 2020 @ 5.00 petang

 BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 9 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 17
KEDAH 2 93
PULAU PINANG 0 108
PERAK 4 241
SELANGOR 40 1,118
NEGERI SEMBILAN 11 281
MELAKA 3 119
JOHOR 7 503
PAHANG 14 183
TERENGGANU 5 98
KELANTAN 1 148
SABAH 0 248
SARAWAK 6 312
W.P. KUALA LUMPUR 14 699
W.P. PUTRAJAYA 2 47
W.P. LABUAN 0 13
JUMLAH KESELURUHAN 109 4,228