STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 113 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,108 kes (45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 12 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 153 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,683 kes. Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,499 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga (3) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 76 kes (1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-74 (kes ke-4531) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 1.50 pagi.
Kes kematian ke-75 (kes ke-3469) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 5.23 pagi.
Kes kematian ke-76 (kes ke-4314) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 7.36 pagi.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

SUB-KLUSTER MADRASAH DI BEBERAPA BUAH NEGERI

Adalah dimaklumkan bahawa KKM telah mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi (targeted approach). Ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Misalnya, hasil kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Seri Petaling, KKM telah mengenal pasti senarai terkini madrasah dan tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes-kes indeks perhimpunan di Seri Petaling.

Susulan daripada tindakan proaktif di lapangan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah, beberapa subkluster jangkitan COVID-19 telah dikenalpasti di beberapa buah madrasah dan tahfiz. Berikut adalah maklumat terkini beberapa sub-kluster tersebut:

Sub-kluster madrasah di Jerantut, Pahang:
Jumlah orang yang disaring adalah seramai 401 orang, di mana 297 orang adalah pelajar dan baki 104 orang merupakan kakitangan dan ahli keluarga kakitangan.
Jumlah kes positif : 62 kes (telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan)
Jumlah kes sembuh/discaj : 20 kes
Sub-kluster madrasah di Penanti, Pulau Pinang:
Jumlah orang yang disaring adalah seramai 291 orang di mana 256 orang adalah pelajar dan baki 35 orang merupakan kakitangan.
Jumlah kes positif : enam (6) kes, di mana dua (2) kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah.
Jumlah kes sembuh/discaj : empat (4) kes.
Sub-kluster madrasah di Sungai Lui, Selangor:
Jumlah orang yang disaring adalah seramai 282 orang, di mana 274 orang adalah pelajar dan baki lapan (8) orang merupakan kakitangan
Jumlah kes positif : 90 kes (telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara)
Jumlah kes sembuh/discaj : 67 kes.
Sub-kluster madrasah di Jasin, Melaka:
Jumlah orang yang disaring adalah seramai 137 orang, di mana 122 orang adalah pelajar dan baki 15 orang merupakan kakitangan
Jumlah kes positif : 37 kes (telah dimasukkan ke Hospital Melaka)
Jumlah kes sembuh/discaj : satu (1) kes.
Kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan. KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dan menguji semua kontak rapat di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi (targeted approach).

Masyarakat diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19. Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka.

Orang awam dipohon untuk memberikan kerjasama kepada agensi-agensi yang terlibat dalam memenangi kejadian COVID-19 di Malaysia. Seperti dimaklumkan, tempoh dua minggu akan datang ini adalah amat penting di mana kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

NASIHAT KESIHATAN

KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dengan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun serta sentiasa amalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

12 April 2020 @ 5:00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 12 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 17
KEDAH 0 93
PULAU PINANG 2 116
PERAK 1 244
SELANGOR 53 1,236
NEGERI SEMBILAN 9 318
MELAKA 3 144
JOHOR 14 558
PAHANG 11 225
TERENGGANU 0 102
KELANTAN 1 152
SABAH 6 266
SARAWAK 8 342
W.P. KUALA LUMPUR 44 803
W.P. PUTRAJAYA 1 52
W.P. LABUAN 0 15
JUMLAH KESELURUHAN 153 4,683