STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 202 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,478 kes (49.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes). Hari ini juga, bilangan kes yang didiscaj adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 14 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 170 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,987 kes. Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,427 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 60 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima (5) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 82 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-78 (kes ke-4532) merupakan lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April 2020. Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia.
Kes kematian ke-79 (kes ke-2052) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 5.17
Kes kematian ke-80 (kes ke-4818) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 11.36 malam.
Kes kematian ke-81 (kes ke-4521) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 4.20 petang.
Kes kematian ke-82 (kes ke-1649) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 11.50 pagi.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

KELENGKAPAN PELINDUNG DIRI (PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT – PPE) UNTUK PETUGAS KESIHATAN

KKM ingin memaklumkan mengenai kesiapsagaan dan status terkini Personal Protective Equipment (PPE) bagi kegunaan petugas kesihatan dalam pengendalian kes COVID-19.

Seperti diketahui umum, isu berkaitan kekurangan PPE adalah isu global di mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Di fasiliti KKM juga, didapati penggunaan PPE telah meningkat secara mendadak susulan pandemik COVID-19 ini.

Kelengkapan pelindung diri atau Personal Protective Equipment (PPE) adalah merupakan satu keperluan utama bagi petugas kesihatan barisan hadapan dalam menghadapi wabak COVID-19. Terdapat beberapa jenis PPE yang digunakan oleh petugas kesihatan, misalnya:

-Footwear/boot cover – baki stok 78 hari
-Protective head cover – baki stok 52 hari;
-Alat penutup hidung dan mulut jenis 3-ply mask – baki stok 47 hari;
-Alat penutup hidung dan mulut jenis surgical N-95 mask – baki stok 37 hari;
-Disposable Face Shield (eye visor, face shield or googles) – baki stok 25 hari
-Disposable Fluid Resistant Apron (Long Sleeves With Cuff) – baki stok 23 hari;
-Jumpsuit/ Protective Coverall – baki stok 19 hari
-Gaun plastik biasa, dan lain-lain jenis PPE.
Screen Shot 2020-04-14 at 5.57.12 PM
Bagi memastikan stok PPE adalah berterusan, KKM telah dan sedang terus menjalankan proses perolehan PPE secara pembelian pukal di peringkat pusat dan peringkat negeri. KKM juga bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi pusat bagi memastikan isu berkaitan stok ini dapat diberi perhatian khusus. Sumbangan PPE oleh pelbagai pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan para dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.

Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem pelaporan dan pengkalan data atas talian yang mudah, di mana ianya dikendalikan oleh Pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah masing-masing PKD). Laporan ini dipantau rapat dan tindakan mobilisasi stok kemudiannya dilakukan sewajarnya.

Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri telah dimaklumkan bagi membantu orang umum dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE. Semakan segera dan tindakan mobilisasi akan dilakukan mengikut keperluan dan keutamaan.

Adalah dimaklumkan juga bahawa jenis PPE yang perlu digunakan oleh petugas kesihatan adalah mengikut keperluan di unit mana petugas kesihatan tersebut bertugas, iaitu sepertimana dinyatakan di dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 8: The Infection Prevention And Control (IPC) Measures). Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai kesemua jenis PPE ketika mereka bertugas. Ini amat penting bagi memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM adalah bertetapan. Sehubungan itu, pihak KKM menyarankan penggunaan PPE secara cermat dan berhemah oleh semua petugas kesihatan memandangkan ia digunakan secara berterusan sepanjang pandemik COVID-19 ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Pihak KKM menyeru supaya orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan:

Mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
Mengamalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

14 April 2020 @ 5.00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 14 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 1 18
KEDAH 0 93
PULAU PINANG 3 119
PERAK 3 250
SELANGOR 50 1,299
NEGERI SEMBILAN 2 362
MELAKA 3 147
JOHOR 8 587
PAHANG 11 236
TERENGGANU 0 106
KELANTAN 0 154
SABAH 5 285
SARAWAK 15 363
W.P. KUALA LUMPUR 69 899
W.P. PUTRAJAYA 0 54
W.P. LABUAN 0 15
JUMLAH KESELURUHAN 170 4,987