STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 169 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,647 kes (52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Bilangan kes yang didiscaj hari ini hampir dua kali ganda kes baru COVID-19.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 15 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 85 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,072 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,342 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-83 (kes ke-4988) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 6.41 pagi.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga tersebut.

ANALISA RINGKAS SITUASI SELEPAS PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN FASA KE-2

Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula pada 1 April 2020 sehingga 14 April 2020 telah kini disambung pula kepada fasa ketiga. Setelah hampir sebulan pelaksanaan kedua-dua PKP fasa pertama dan kedua ini, kita dapat melihat tren jumlah kes baharu COVID-19 sedikit terkawal tanpa kenaikan yang mendadak. Manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari. Ini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP, seperti yang dapat dilihat pada tren jumlah kes aktif harian.

Susulan PKP fasa pertama dan kedua, PKP fasa ketiga mula dikuatkuasakan pada hari ini, iaitu 15 April 2020 hingga 28 April 2020. Tujuannya adalah untuk meneruskan tindakan KKM sedia ada, serta menggiatkan lagi usaha mengurangkan kes positif COVID-19 di Malaysia dengan menggunakan pendekatan tertumpu (targeted approach).

Kepatuhan masyarakat terhadap arahan ini adalah amat penting pada ketika ini. Namun berdasarkan pemantauan yang telah dijalankan oleh pihak berwajib dan juga keadaan trafik jalan raya diperhatikan kebelakangan ini, didapati masyarakat semakin tidak akur terhadap arahan PKP ini.

Sehubungan itu, KKM menyambut baik keputusan pihak MKN agar tindakan yang lebih tegas diambil atas ketidakakuran segelintir masyarakat. Ini diharap dapat memberi impak yang positif dalam meratakan lengkung (flatten the curve) dan seterusnya memastikan fasiliti KKM dapat menampung bilangan pesakit COVID-19. KKM khuatir ketidakpatuhan kepada PKP boleh membatalkan usaha keras semua pihak yang telah diambil setakat ini. Terima kasih kepada semua pihak berwajib dalam membantu menguatkuasakan arahan PKP ini agar tahap keakuran dapat ditingkatkan.


Oleh itu, KKM menyeru kerjasama semua Rakyat Malaysia dalam memainkan peranan masing-masing dalam menangani penularan wabak ini dan memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Usaha ini dapat dicapai dengan terus mengamalkan perkara berikut:

Patuh kepada PKP.
Tahap kebersihan diri yang tinggi pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.
Jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.
KKM juga maklum bahawa terdapat segelintir masyarakat yang perlu hadir bertugas terutama bagi perkhidmatan perlu. Oleh itu, KKM ingin menasihati agar mereka:

Mengelak berada di kawasan yang sesak (crowded space) dan kawasan yang tertutup (confined space) secara beramai-ramai misalnya di ruang makan di pejabat,
Kekalkan jarak 1 meter ketika cakap bersemuka dengan orang lain (conversation).
Memastikan ruang makan di pejabat kekal bersih, termasuk menggunakan disinfeksi bagi memastikan kawasan kerap disentuh adalah bebas daripada kuman.

PENGGUNAAN DISINFECTION BOX / CHAMBER / TUNNEL / BOOTH / PARTITION / GATE UNTUK MENGURANGKAN JANGKITAN COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa beberapa permohonan telah diterima bagi tujuan pengesahan penggunaan Disinfection Box / Chamber / Tunnel /Booth / Partition / Gate untuk mengurangkan jangkitan COVID-19, di mana ianya telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan, KKM. Ini memandangkan ianya dilaporkan telah digunakan sebagai peralatan nyahkuman di beberapa negara.

Penilaian telah dilakukan terhadap beberapa model peralatan tersebut daripada beberapa negara dan juga model-model yang sedia ada di Malaysia. Adalah didapati bahawa proses nyahkuman oleh peralatan yang dinilai melibatkan seseorang melalui peralatan tersebut untuk tempoh 20-30 saat di mana individu akan disembur menggunakan bahan kimia bagi tujuan nyahkuman. Kesemua model yang telah dikaji menggunakan bahan kimia berlainan.

Hasil daripada penilaian yang dilakukan mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan COVID-19. Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia. Tambahan pula bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (membrane mucosa) seperti di mata dan mulut.

Berdasarkan penilaian tersebut, KKM tidak menyarankan penggunaan Disinfection Box / Chamber / Tunnel /Booth / Partition / Gate sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap manusia.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
15 April 2020 @ 5.00 petang