STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 119 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,766 kes (53.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 16 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 110 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,182 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,332 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 84 kes (1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-84 (kes ke-4711) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 12.55 tengah hari.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

RISIKO JANGKITAN COVID-19 DI KALANGAN WARGA EMAS DAN PESAKIT PENYAKIT KRONIK

Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, golongan warga emas didapati agak terjejas dengan wabak COVID-19 di mana terdapat banyak kes jangkitan dan kematian berkaitan COVID-19 di kalangan kumpulan umur 60 tahun ke atas. Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik. Ini merupakan satu isu global yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas dengan wabak ini.

Statistik menunjukkan terdapat dua (2) kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 berbanding kumpulan umur yang lain, iaitu 20 tahun sehingga 24 tahun dan juga 56 tahun sehingga 59 tahun. Ini dapat dilihat pada carta bilangan kes positif COVID-19 mengikut umur. Namun apabila statistik bilangan kes COVID-19 ini dipadankan dengan populasi bagi setiap kumpulan umur, jelas dapat dilihat bahawa kadar insiden COVID-19 bagi 100,000 populasi di Malaysia adalah paling tinggi bagi kumpulan umur 55 sehingga 59 tahun dan juga 60 sehingga 64 tahun.

Statistik kes kematian COVID-19 yang telah direkod setakat ini pula menunjukkan bahawa 62.6 peratus daripada kes kematian adalah berumur 60 tahun ke atas. Jika dilihat daripada faktor komorbiditi, didapati 80.7 peratus kes kematian menghidap penyakit kronik misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

NASIHAT KESIHATAN KEPADA WARGA EMAS DAN PESAKIT PENYAKIT KRONIK

Didapati kebolehpulihan dan prognosis bagi sembuh jangkitan COVID-19 adalah lebih baik sekiranya rawatan dimulakan awal, justeru amat penting bagi kumpulan warga emas untuk mendapatkan rawatan SEGERA walaupun hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak.

Adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga misalnya anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas supaya memastikan golongan warga emas:

Mendapat rawatan segera jika tidak sihat
Bekalan ubatan mencukupi dan patuhi temujanji rawatan
Barang keperluan harian mencukupi;
Pengamalan tahap kebersihan diri yang tinggi misalnya, kerap cuci tangan dengan air dan sabun;
Mengamalkan jarak sosial yang selamat (social distancing) sekurang-kurangya 1 meter.

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, warga emas serta orang ramai boleh menghubungi Virtual Health Advisory melalui portal KKM dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari

Sehubungan itu, bagi memastikan bekalan ubat pesakit adalah mencukupi dan tidak terganggu, di samping mengurangkan keperluan warga emas serta pesakit kronik keluar rumah, pihak Kementerian amat menggalakkan pesakit yang diberikan rawatan ubat untuk penyakit kronik supaya menggunakan Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (Value Added Services, VAS) yang telah sedia ada ditawarkan di fasiliti KKM. Antara Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi yang ditawarkan adalah:

Ubat Melalui POS (UMP);
Farmasi Pandu Lalu;
Locker4U; dan
Sistem Temujanji Farmasi (Telefon & Ambil, SMS & Ambil dan sebagainya)

Pesakit digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pembekalan UMP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini membolehkan ubat dihantar terus ke rumah pesakit tanpa pesakit perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan bagi mengambil bekalan ubat susulan mereka.

KKM juga prihatin terhadap kesihatan warga emas yang tinggal di institusi-institusi jagaan bagi warga emas, terutama bagi institusi yang mempunyai ramai penghuni serta mengalami kesukaran mengamalkan jarak sosial yang selamat.

Susulan itu, KKM telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di mana KPWKM telah membangunkan garis panduan ‘Recommendations for the COVID-19 Pandemic for Private, Public and NGO Residential Aged Care Facilities’. KKM turut memantau pengurusan kesihatan berhubungan dengan pencegahan COVID-19 di Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bahan sebaran berbentuk infografik mengenai langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 telah diedarkan kepada 344 buah institusi yang dilesenkan di bawah Akta Pusat Jagaan (Akta 506) dan lain-lain institusi penjagaan. Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang banyak membantu dalam perkara ini.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 April 2020 @ 5.00 petang