STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 95 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,197 kes (59.32 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Seperti tren dilihat kebelakangan ini, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 19 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 84 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,389 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,103 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 46 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 89 kes (1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

    Kes kematian ke-89 (kes ke-4769) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19, iaitu kes ke-2726. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 13 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 April 2020 jam 6.47 petang.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

KLUSTER PELAJAR DARI MAGETAN, INDONESIA

Sebuah kluster baharu telah dikesan di pintu masuk antarabangsa iaitu di mana kes positif dikesan di kalangan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April 2020. Kluster ini setakat ini terdiri daripada 43 orang pelajar yang disahkan positif COVID-19, di kalangan pelajar-pelajar yang pulang dari Temboro, iaitu salah satu tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia. Masih terdapat beberapa kes yang masih menunggu keputusan.

Daripada jumlah keseluruhan 43 kes tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di negeri Melaka dan sembilan (9) orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ini menunjukkan bahawa tindakan Kerajaan untuk mengambil langkah untuk kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan. Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia.

PENGLIBATAN MALAYSIA DI DALAM WORLD HEALTH ORGANIZATION (WHO) “SOLIDARITY TRIAL”

Seperti yang telah dimaklumkan melalui Kenyataan Akhbar Bersama KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 6 April 2020, “Kajiselidik Solidariti” (Solidarity Trial) yang dilancarkan oleh WHO akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat COVID-19. Kajiselidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha pengumpulan data dan perbandingan keselamatan serta keberkesanan empat regimen rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Sehubungan itu, KKM bakal memulakan kajian klinikal ini dalam masa terdekat di mana sembilan (9) buah hospital KKM yang dikenalpasti mengambil bahagian di dalam WHO Solidarity Trial ini telah bersedia untuk memulakan pengambilan peserta kajian di kalangan pesakit COVID-19 yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (Medical Research and Ethics Committee, MREC) telah bekerjasama rapat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM yang bertindak sebagai badan regulatori yang bertanggungjawab meluluskan penggunaan ubat tersebut dalam kajian klinikal ini. Penilaian telah dibuat berdasarkan tiga (3) aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data-data yang telah dikemukakan.

Menyedari kepentingan kajian klinikal ini dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, MREC dan NPRA telah berjaya meluluskan protokol penyelidikan dan lesen import kajian klinikal (Clinical Trial Import Licence) bagi ubat Remdesivir dalam tempoh yang singkat (iaitu empat (4) hari berkerja), namun pada masa yang sama dapat mengekalkan kualiti penilaian berdasarkan prosedur dan keperluan regulatori antarabangsa.

Kelulusan segera ini telah tercapai melalui komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa MREC, lapan (8) orang penilai NPRA dan pengurusan atasan bagi memastikan penilaian ubat ini adalah berkualiti serta dalam jangkamasa yang ditetapkan. Selain itu, kerjasama yang diterima daripada pemohon (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Ampang) dan pihak WHO dalam memberi dokumen-dokumen yang diperlukan oleh MREC dan NPRA dalam masa yang singkat banyak membantu mempercepatkan proses kelulusan tersebut.

Penyertaan Malaysia dalam kajiselidik sedunia ini dijangka dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Selaras dengan usaha memerangi pandemik ini, KKM menasihatkan agar rakyat Malaysia turut menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan:

    Patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan.
    Mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
    Mengamalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

19 April 2020 @ 5.00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

 

(SEHINGGA 19 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

 

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 18
KEDAH 0 94
PULAU PINANG 0 119
PERAK 0 252
SELANGOR 3 1,343
NEGERI SEMBILAN 0 405
MELAKA 37 185
JOHOR 3 642
PAHANG 5 269
TERENGGANU 0 109
KELANTAN 0 155
SABAH 3 306
SARAWAK 5 408
W.P. KUALA LUMPUR 19 1,004
W.P. PUTRAJAYA 9 64
W.P. LABUAN 0 16
JUMLAH KESELURUHAN 84 5,389