STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 98 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,295 kes (60.74 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Seperti dilihat beberapa hari ini, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 20 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 36 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,425 kes. Ini merupakan bilangan kes harian yang paling rendah direkod setakat ini. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes.

Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sukacita dimaklumkan, daripada maklumat terkini yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada sebarang kes kematian yang terbaharu setakat ini. Oleh itu, sehingga pukul 12 tengah hari 20 April 2020, jumlah kematian kekal 89 kes.

Penurunan jumlah kes harian yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutama dalam tempoh dua (2) minggu yang lalu.

Namun demikian, jumlah atau bilangan kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua (2) minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan terutamanya ke atas rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

STATUS TERKINI PERINTAH PERGERAKAN KAWALAN DIPERKETATKAN (PKPD)

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan telah mula dilaksanakan di beberapa lokasi yang berisiko tinggi sejak 27 Mac 2020. Langkah ini dapat membantu KKM dalam menjalankan aktiviti pendekatan tertumpu (targeted approach) untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 seperti bancian penduduk, Active Case Detection (ACD) rumah ke rumah, pengambilan sampel, aktiviti disinfeksi berkaitan dan promosi kesihatan. Bagi kes yang disahkan positif COVID-19, mereka akan diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga 20 April 2020, Kerajaan telah mengeluarkan sebanyak enam (6) arahan PKPD secara berperingkat melibatkan sebanyak sepuluh (10) lokaliti iaitu:

Bandar Baru Ibrahim Majid;
Kawasan di sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid;
Kampung Sungai Lui;
Kawasan di sekitar Kampung Sungai Lui;
Menara Plaza City One;
Malayan Mansion;
Selangor Mansion;
Masjid India dan kawasan sekitarnya;
Terkini, di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur; dan
Kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur
Hasil daripada pelaksanaan PKPD ini, sebanyak 13,277 sampel ujian pengesanan COVID-19 telah diambil di mana sebanyak 796 kes telah dikesan positif COVID-19. Terdapat lima (5) kes kematian COVID-19 dari kawasan ini iaitu kes ke-1114, kes ke-2627, kes ke-1649 dan kes ke-1251 dari Bandar Baru Ibrahim Majid dan kawasan di sekitarnya, serta kes ke-1906 dari Menara Plaza City One.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Selaras dengan tren penurunan kes jangkitan COVID-19, KKM ingin menegaskan dan mengingatkan seluruh Rakyat Malaysia untuk tidak mengambil mudah serta merasa selesa dengan keberkesanan pengekangan jangkitan COVID-19 yang dicapai setakat ini.

Perjuangan kita masih berbaki dan pastinya masih belum tamat. Teruskan usaha membantu Kerajaan dalam memastikan rantaian jangkitan COVID-19 ini dapat diputuskan dengan:

Patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan.
Mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
Mengamalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.
Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 April 2020 @ 5.00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 20 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 18
KEDAH 0 94
PULAU PINANG 0 119
PERAK 0 252
SELANGOR 2 1,345
NEGERI SEMBILAN 3 408
MELAKA 2 187
JOHOR 2 644
PAHANG 2 271
TERENGGANU 0 109
KELANTAN 0 155
SABAH 2 308
SARAWAK 6 414
W.P. KUALA LUMPUR 4 1,008
W.P. PUTRAJAYA 13 77
W.P. LABUAN 0 16
JUMLAH KESELURUHAN 36 5,425