STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,452 kes (62.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA.

Sehingga 22 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 50 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,532 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,987 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 43 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-93 (kes ke-5483) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 9.15 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

KLUSTER PENGERANG, JOHOR

KKM telah mengesan satu kluster yang bermula di Pengerang, Johor. Kes indeks (iaitu kes ke-1508) kluster ini telah mula mengalami gejala pada 12 Mac 2020. Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap Demam Denggi. Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020. Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal. Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac 2020.

Setakat 22 April 2020, kluster ini melibatkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 iaitu sepuluh (10) orang rakan sekerja dan lima (5) orang ahli keluarga kes indeks, termasuk ibu beliau yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun. Sebanyak tujuh (7) kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan (8) kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj. Secara keseluruhan, tiga (3) kes di dalam kluster ini telah dirawat di ICU.

Jangkitan di kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19 SEMPENA BULAN RAMADAN

Seperti yang sedia maklum, penularan pandemik COVID-19 yang kini melanda seluruh dunia telah memberi kesan yang sangat ketara terhadap amalan dan norma kehidupan seharian kita. Ini termasuklah perubahan kepada cara amalan keagamaan dan tradisi kebudayaan seperti budaya kunjung-mengunjung, perhimpunan keagamaan dan majlis keraian yang merupakan antara identiti unik masyarakat majmuk di negara ini.

Tradisi dan amalan ibadat pada bulan Ramadan bagi umat Islam di seluruh dunia juga akan turut terkesan memandangkan banyak negara sedang melaksanakan kawalan pergerakan dan sempadan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 di negara masing-masing.

Mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan COVID-19 dalam Kluster Pengerang dan Sub-kluster Rembau, masyarakat diminta untuk kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan elak daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan dan sanak saudara. Ini termasuk perjalanan merentas negeri, daerah dan mukim atau menghadiri perhimpunan besar-besaran (termasuk majlis keagamaan dan majlis keraian). KKM khuatir aktiviti seperti ini yang sememangnya telah menjadi kelaziman rakyat Malaysia, akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 di kalangan ahli keluarga terutama kepada golongan warga emas dan kanak-kanak.

Umat Islam di negara ini diseru untuk menggunakan peluang semasa bulan Ramadan yang bakal menjelma untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing. Selain daripada meraikan bulan Ramadan bersama keluarga tersayang di rumah, langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang dikasihi terutamanya ibu bapa yang berusia dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit COVID-19.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya satu (1) meter dari orang lain dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 April 2020 @ 5.00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

 

(SEHINGGA 22 APRIL 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

 

NEGERI BILANGAN KES BAHARU BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS 0 18
KEDAH 1 95
PULAU PINANG 0 119
PERAK 0 252
SELANGOR 1 1,357
NEGERI SEMBILAN 2 411
MELAKA 1 189
JOHOR 3 648
PAHANG 6 285
TERENGGANU 0 109
KELANTAN 0 155
SABAH 0 308
SARAWAK 19 455
W.P. KUALA LUMPUR 16 1,037
W.P. PUTRAJAYA 1 78
W.P. LABUAN 0 16
JUMLAH KESELURUHAN 50 5,532