Kenyataan Akhbar KPK 7 Jun 2021 – Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mulai tahun 2019 yang lalu telah mengisytiharkan tarikh 7 Jun setiap tahun adalah Hari Keselamatan Makanan Sedunia (World Food Safety Day) dengan slogan “Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama”. Slogan ini menumpukan pada kepentingan tanggungjawab bersama ke atas keselamatan makanan bagi memastikan bekalan makanan yang selamat kepada kira-kira lapan (8) bilion penduduk di seluruh dunia pada masa ini.

Seperti tahun sebelumnya, KKM turut mengadakan aktiviti sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia bagi menekankan kepentingan keselamatan makanan di kalangan masyarakat. Pada tahun ini, tema Hari Keselamatan Makanan Sedunia menumpukan kepada “Makanan Selamat Penentu Kesejahteraan” (Safe Food Now For A Healthy Tomorrow).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada 600 juta penduduk di seluruh dunia, satu (1) daripada sepuluh (10) orang setiap tahun jatuh sakit akibat dari memakan makanan yang tercemar dengan bakteria, virus, parasit, racun atau bahan kimia. Seramai 420,000 orang telah mati setiap tahun di mana dianggarkan 168,000 (40%) daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mati akibat penyakit yang disebabkan oleh pencemaran makanan.

Situasi kejadian penyakit bawaan makanan di Malaysia berdasarkan data kejadian keracunan makanan yang dilaporkan pada tahun 2020 menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 44.2% iaitu dari 516 kejadian keracunan makanan kepada 288 kejadian keracunan makanan di seluruh negara bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Manakala pada tahun 2020, negara telah dikejutkan dengan isu kejadian keracunan makanan yang serius sehingga membawa kematian. Antara kejadian keracunan makanan yang berlaku disyaki berpunca daripada memakan puding buih yang dibeli secara atas talian.

Walaupun situasi kejadian keracunan makanan di Malaysia masih terkawal, KKM memandang serius mengenai kejadian kes keracunan makanan. Ini menunjukkan bahawa soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan. Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah rosak.

Baca kenyataan penuh di :

https://kpkesihatan.com/2021/06/07/kenyataan-akhbar-kpk-7-jun-2021-sambutan-hari-keselamatan-makanan-sedunia-peringkat-kebangsaan-2021/