𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐍𝐔𝐆𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐇𝐈𝐃𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐂𝐄𝐌𝐄𝐑𝐋𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐒𝐈𝐇𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐈𝐒
15 Julai 2026 (Rabu)
Hari ini telah berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Negeri Perlis Majlis APC ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia. Turut sama memeriahkan majlis adalah YBhg. Dr. Ghazali bin Chik, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis beserta Timbalan-timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, Pegawai Kesihatan Daerah Kangar, Ketua-ketua Profesion dan pegawai-pegawai kanan JKN Perlis. Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JKN Perlis ini meraikan 336 orang pegawai dari Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Hospital Tuanku Fauziah dan Pejabat Kesihatan Daerah Kangar yang telah terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kerana telah mempamerkan prestasi kerja terbaik dan boleh menjadi contoh teladan kepada semua warga JKN pada tahun 2025 yang lalu. Dalam ucaptama majlis, YBhg. Datuk Seri KSU KKM telah menekankan kepentingan bekerja dalam satu pasukan, berpegang teguh kepada nilai-nilai integriti serta bersedia melakukan penambahbaikan yang berterusan terhadap sistem, proses kerja dan peraturan supaya penyampaian perkhidmatan kesihatan sentiasa dinamik dan memenuhi keperluan semasa. Selain itu perhatian juga perlu diberi kepada pendigitalan perkhidmatan dengan memanfaatkan kemajuan teknologi digital untuk memudahkan tugasan seharian dan penyampaian perkhidmatan. Semoga anugerah ini menjadi satu pemangkin kepada warga JKN Perlis untuk terus mengekalkan kecemerlangan, memperkukuh integriti serta menyumbang bakti dengan penuh iltizam demi rakyat, negeri dan negara.