BILIK PENYUSUAN SUSU IBU JABATAN KESIHATAN NEGERI PERLIS
Bilik penyusuan susu ibu ini merupakan inisiatif Unit Pemakanan, Bahagian Kesihatan Awam dengan kerjasama Bahagian Pengurusan, JKN Perlis dengan tujuan menjaga kebajikan dan memberikan kemudahan kepada ibu bekerja yang masih menyusukan bayi mereka agar dapat mengepam susu dalam keadaan yang selesa dan pada masa yang sama produktiviti dalam pekerjaan dapat dilaksanakan dengan baik.
Projek ini telah mula dilaksanakan pada Tahun 2021 dan dirasmikan pada 3 Jun 2022 oleh YBrs. Dr. Sirajuddin bin Hashim, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
OBJEKTIF
Menyokong Dasar Penyusuan Susu Ibu dengan menyediakan bilik penyusuan dalam usaha menggalakkan semua ibu bekerja menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja sepanjang 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga usianya 2 tahun.
Memberi lebih motivasi dan galakan kepada golongan ibu bekerja untuk terus bekerja dan dalam masa yang sama dapat membekalkan faedah kesihatan dan khasiat yang hanya diperolehi dari susu badan kepada bayi, dan mengepam susu merupakan satu cara yang baik untuk mengeratkan hubungan dengan bayi pada waktu di tempat kerja.
JUSTIFIKASI
Penggunaan Bilik Penyusuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan sokongan Ketua Jabatan dalam memberi kelonggaran masa kepada kakitangan yang perlu mengepam susu. Bagaimanapun, penggunaan bilik tersebut memerlukan komunikasi yang baik di antara satu sama lain agar tidak menjejaskan produktiviti kerja. Cadangan menyediakan bilik ini adalah untuk menjaga privasi dan kemudahan kepada ibu yang masih menyusukan anaknya.
KEMUDAHAN DI BILIK PENYUSUAN
Kemudahan yang disediakan adalah kerusi bersandar, meja, sinki, peti ais, penyaman udara, bahan bacaan, dan soket punca kuasa elektrik.
Masa Penggunaan : Waktu Bekerja
Had Kapasiti : 2 Orang
Pengguna : Staf jabatan dan pelanggan yang berurusan di Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
HARAPAN
Semoga dengan kewujudan bilik ini, dapat meningkatkan motivasi dan produktiviti ibu bekerjaya. Dengan usaha ini juga, diharap dapat memberi kesedaran kepada para majikan untuk lebih prihatin tentang keperluan ibu yang menyusukan anak dan hal yang berkaitan dengan penyusuan susu ibu.